Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini meletak jawatan dalam kerajaan negeri Selangor, atas alasan beliau perlu berehat.

Mengumumkannya di Twitter, Rafizi berkata keputusannya untuk 
meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor "tiada sebarang dimensi politik".

"Semua pertanyaan selepas ini hendaklah ditujukan kepada kerajaan negeri atau (penasihat ekonomi Selangor), Datuk Seri Anwar Ibrahim...

"Letak Jawatan adalah perkara biasa. Saya perlu berehat. Sekarang saya buat dua tugas, siang di kerajaan negeri malam parti. 

"Penat  Ramadan juga sudah berhampiran, (saya mahu) memberi tumpuan kepada ibadat," kata Rafizi.

Rafizi menambah beliau pada mulanya merancang untuk memegang jawatan tersebut selama dua tahun sahaja, dan kini adalah "masa untuk melangkah ke hadapan".

Bagaimanapun, waktu Rafizi memilih untuk mengumumkan keputusannya meletak jawatan tersebut menarik perhatian ramai.

Mereka yang mendakwa ahli PKR yang melancarkan perang terbuka terhadap Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berpandanga bahawa ianya ada kaitan dengan kemelut tersebut.

Malah, Twitter @PecatFaekah, yang dikendalikan oleh mereka yang menyokong Pengerusi Perhubungan Majlis Pimpinan Negeri, Azmin Ali menganggap peletakan jawatan itu mungkin disebabkan wujud perbezaan Rafizi dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.



http://www.malaysiakini.com



Isu Faekah: Ahli tidak tolak kemungkinan wujud pergolakan dalaman PKR

June 21, 2012
SHAH ALAM, 21 Jun — Ahli PKR Selangor hari ini tidak menolak kemungkinan wujudnya pergolakan dalaman dalam isu gerakan pemecatan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.
Bagaimanapun, mereka turut menggesa isu berkenaan dihentikan segera bagi menutup pergolakan yang berlaku antara pembantu Tan Sri Khalid Samad itu dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
“Kami tidak menolak kemungkinan wujudnya cubaan memecah belahkan parti. Kemungkinan mereka dari dalam parti, mungkin orang yang tidak berpuas hati.
“Namun kami menggesa isu ini dihentikan segera. Kami menolak cubaan menyingkirkan Faekah. Kami menyokong sepenuhnya Faekah kekal sebagai setiausaha menteri besar,” kata Mohd Naquib Carmeil Roseli.
Mohd Naquib yang juga merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat) turut melihat ia adalah usaha pihak tertentu untuk mencalarkan imej Khalid dan merosakkan imej Faekah.
“Kami menyeru anggota Pakatan Rakyat supaya berhenti daripada spekulasi berkenaan Faekah. Kita sekarang bekerja dalam mod pilihan raya, bukan zon selesa.
“Kami amat menghormati Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden. Mungkin ia juga ditimbulkan pihak luar, mungkin Umno,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan, pihaknya memberikan sokongan padu supaya Faekah kekal di Pejabat Menteri Besar kerana prestasinya yang amat cemerlang.
“Sokongan kami berdasarkan fakta. Beliau amat cemerlang, jangan timbulkan perselisihan antara kami dalam parti.
“Ini budaya Umno, bukan PR ... ahli PR cuma bekerja, dan tidak berkompromi dengan perkara seperti ini.”
Bersependapat dengan Naquib, Abdul Halim Abdullah turut mempersoalkan keperluan untuk memecat Faekah.
“Mengapa perlu Faekah dibuang. Beliau amat berdedikasi walaupun tegas. Bagi kami sendiri, beliau amat layak menjadi setiusaha akhbar menteri besar,” katanya yang juga ahli exco Prorakyat.
“Kami amat yakin beliau tidak pernah melangkaui bidang tugas menteri besar. Saya turut merasakan menteri besar sendiri rasa bertuah memiliki setiausaha akhbar seperti Faekah,” tegas Abdullah.
Selain itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang turut bersetuju dengan pendapat kedua-dua mereka menegaskan, Faekah perlu kekal sebagai setiausaha akhbar menteri besar.
“Desas-desus mungkin timbul akibat rasa tidak puas hati antara rakan mahupun lawan,” katanya yang turut merupakan Ketua Penerangan Prorakyat.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun hari ini mengeluarkan kenyataan atas kapasiti peribadi dan bukannya mewakili Prorakyat.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, semalam berkata, tidak mengenali pihak yang terlibat dalam gerakan tersebut dan tidak bersetuju serangan terbuka dibuat ke atas Faekah.
Beliau turut menggesa agar mana-mana individu atau pihak terlibat segera berhenti menyebarkan kempen mahupun gerakan memburuk-burukkan ahli parti.
“Saya tidak mahu ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan. Saya juga beri jaminan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa PKR negeri akan terus menyokong kepimpinan beliau dan bekerjasama untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.
“Konflik itu adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik. Namun, saya tidak bersetuju dengan serangan terbuka kerana dalam parti ada proses untuk sampaikan aduan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Shuhaimi Shafie turut menggesa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Kontroversi gerakan menjatuhkan Faekah dipercayai  bermula di laman sosial apabila wujudnya akaun Twitter #kamisayangpkr dan #pecatfaekah.
Kempen berkenaan turut melihatkan luahan rasa tidak puas hati pengikut PKR selepas Faekah dikatakan telah mempertikai keputusan Majlis Pimpinan PKR melantik Azmin sebagai Pengarah Pilihanraya PKR.
Malah, beliau turut didakwa mempunyai kuasa terhadap pengeluaran peruntukan di bawah Geran SelangorKu dan program pembangunan untuk rakyat Selangor.
Shuhaimi yang juga merupakan Ketua Penerangan PKR Selangor turut menegaskan, “visi menjadi kerajaan turut  dipandu dengan gandingan mantap antara Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Pusat, Azmin Ali dan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.”
Beliau turut menambah semua kepimpinan di dalam organisasi negeri baik dari kedudukan menteri besar, anggota exco apatah lagi setiausaha politik hendaklah menghormati pendirian mahupun keputusan kepimpinan tertinggi parti.
Menurutnya lagi, PKR Selangor memandang serius jikalau benar adanya dakwaan terdapat individu tertentu mempertikai kepimpinan tertinggi parti secara terbuka dan tidak sekali kali berkompromi kerana jelas ia melanggar etika parti.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun menyifatkan dakwaan gerakan menjatuhkan Faekah sebagai “tidak penting dan perlu  diabaikan.”
“Ada gerakan juga untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), (gerakan menjatuhkan individu) dalaman atau luaran parti pun serupa.
“Politik adalah ‘dynamic games’ tetapi ada juga yang banyak kenyataan itu ialah kenyataan spekulasi. Jadi kita tidak mengambil usaha itu sebagai satu usaha yang penting,” katanya.
Khalid turut menambah, beliau sedia maklum perkara itu dan PR mempunyai objektif jelas di mana ketiga-tiga parti dalam parti pembangkang itu bekerjasama dengan satu jiwa untuk membentuk sebuah kerajaan alternatif.
“Saya tahu tujuan ini, anda mesti tahu (perkara) ini dalam politik. Macam hal Datuk Seri Anwar Ibrahim, berapa banyak kes yang beliau lalui. Apa yang beliau lakukan, abaikannya.
“Bekerja keras adalah objektif terbaik. Jadi, saya ikut juga, abaikan semua itu kerana gangguan ini tidak akan memberikan nilai tambah kepada objektif anda,” katanya.
Beliau juga turut memuji Faekah ketika ditanya dakwaan setiausaha politiknya itu didakwa bersikap melangkaui dirinya ketika mengeluarkan sesetengah kenyataan media.
“Itu bermakna beliau melakukan tugasnya dengan baik.
“Tujuan utama kita adalah komunikasi, bermakna kita harus menyebarkan maklumat yang betul kepada masyarakat,” katanya.


http://www.themalaysianinsider.com