Cuba Banding

Wednesday, May 29, 2013

Yang pertama datang MIC, yang pertama ziarah Umno - Nasrudin

Yang pertama datang MIC, yang pertama ziarah Umno - Nasrudin

Harakahdaily,29 Mei 2013
(Laporan Utusan hari ini yang mendakwa Nasrudin pilih kasih)


TEMERLOH: Anggota Parlimen Temerloh, Nasrudin Hasan memberitahu, orang yang pertama datang meminta bantuan dari beliau adalah seorang ahlu MIC manakala orang yang pertama beliau ziarahi adalah penyokong Umno.

Beliau mengulas demonstrasi yang dibuat Umno dengan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Megat Segama, Mohd Nordin Mohd Sham yang mendakwa bantuan hanya beliau berikan kepada ahli PAS dan PKR dan penduduk yang tidak menyokong diketepikan.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan  satu demo yang mendakwa kononnya ahli parlimen Temerloh yang baru Ustaz Nasrudin Hassan, pilih kasih dalam membantu mangsa ribut pada 15 Mei yang lalu.

Nasrudin berkata beliau berlapang dada dan hati terbuka terhadap aneka ragam rakyat mengekspresi sikap dan suara mereka.

“Saya sambut dan layan mereka dengan kasih dan sayang kerana saya adalah pemimpin mereka. Jika dakwaan mereka benar, boleh datang ke Pejabat PAS Kawasan Temerloh [buat sementara waktu sebelum Pusat Komuniti Parlimen Temerloh siap dalam tempoh sebulan ini] untuk mengemukakan aduan atau laporan dan pihak kami akan pastikan laporan itu benar dan layak menerima bantuan, maka saya akan usahakan untuk membantu sedaya mungkin,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Nasrudin berkata sejak beliau menjadi ahli parlimen Temerloh, beliau tidak pernah memilih dalam memberi bantuan kepada sesiapa yang memintanya.

Bahkan dalam 14 hari yang pertama, orang pertama yang berjumpa Nasrudin ialah penyokong MIC.

"Saya hulurkan bantuan. Orang pertama saya ziarah mangsa ribut dan menghulurkan bantuan ialah penyokong Umno. Dalam tempoh itu juga, sekitar 50 buah rumah telah saya sendiri menziarahinya dan menghulurkan bantuan kemanusiaan sementara sebahagiannya saya hulurkan bantuan menerusi PAS Kawasan Temerloh yang mewakili saya,” terang beliau.

Nasrudin (gambar) berkata bahawa beliau tidak suka untuk membangkitkan perkara ini, tapi terpaksa untuk memberi pencerahan kepada mereka yang melemparkan tuduhan kepadanya.

“Walaubagaimana pun saya ucap terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia yang menyiarkan perkara ini dan terima kasih jua saya ucapkan kepada penganjur himpunan aman bagi menyatakan bantahan dan suara mereka terhadap saya,” kata beliau.

Pihak Harakahdaily boleh menjadi saksi kepada kenyataan Nasrudin, bahawa beliau terpaksa "merayau" ke serata ceruk mencari sumbangan orang ramai dan para dermawan untuk membantu insan yang memerlukan di Parlimen Temerloh sejak memenangi pilihanraya 5 Mei yang lalu.

“Keadaan ini berlaku ekoran tradisi pemerintahan Barisan Nasional tidak memberi peruntukan pembangunan dan kebajikan parlimen kepada MP bukan pemerintah,” kata Nasrudin.

Ekoran itu, Nasrudin hari ini menyarankan kepada penganjur himpunan aman itu dan Pengerusi JKKK Megat Segama supaya mengadakan sekali lagi himpunan aman yang serupa untuk mendesak kerajaan Barisan Nasional memberikan geran peruntukan wajib bagi pembangunan dan kebajikan rakyat Temerloh walaupun Ahli Parlimennya bukan dari Barisan Nasional.

“Hormati pilihan rakyat dan jangan pilih kasih dan mendiskriminasikan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat justeru hakikatnya ini adalah penderaan ke atas rakyat yang diwakili oleh Ahli Parlimen bukan pemerintah. Jadilah sebuah kerajaan yang adil dan matang.

"Malah mereka juga mesti mendesak pihak kerajaan Barisan Nasional membela nasib mereka yang terbiar dan hidup dalam kedaifan pula tertekan dalam isu perumahan Sri Kemuning yang tidak selesai sejak sekian lama,” terang beliau lagi.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat itu, beliau telah memanjat tangga di 6 blok rumah pangsa Sri Kemuning untuk meninjau kerosakan yang dialami oleh penduduk di situ dan menghulurkan bantuan.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk di situ bahawa inilah Ahli Parlimen pertama yang sudi datang menziarahi kehidupan kami yang sangat daif dan terbiar di blok - blok rumah pangsa yang uzur di Sri Kemuning.

"Sekian lama mereka diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri Pahang malah mereka luahkan keresahan berikutan ada tekanan supaya mereka keluar dari blok kediaman mereka kini.

"Saya berjanji tiada pilih kasih dan tiada ketidakadilan dalam kepimpinan saya buat seluruh rakyat Temerloh sekali pun terhadap mereka yang tidak menyokong Pakatan Rakyat,” tegas Nasrudin yang memetik Surah al-Maaidah: 8 sebagai pegangan prinsipnya.

Surah al Maaidah : 8 berbunyi:
"Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. "

Kepada para dermawan dan warga prihatin boleh bantu kami Sekretariat Parlimen Temerloh untuk berbakti kepada rakyat yang memerlukan. Salur kepada :

Maybank Islamic
5560 5720 3711
Tabung Prihatin Rakyat

Atau taip Temerloh dan sms ke : 019 3000 088


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19621-yang-pertama-datang-mic-yang-pertama-ziarah-umno-nasrudin

No comments: